Pelancongan mempunyai
pelbagai maksud perspektif dan pandangan pihak-pihak yang terlibat sama ada
secara langsung ataupun tidak langsung dengan industri pelancongan. Ini termasuklah
pelancong itu sendiri, organisasi penginapan dan pengangkutan, organisasi
pendidikan, pihak kerajaan dan sebagainya.
Pada awalnya, Jafari (1977)
mendefinisikan pelancongan sebagai, “satu kajian manusia yang bertentangan
dengan habitat semula jadi mereka serta penglibatan industri yang bertindak
balas pada keperluan mereka, dan juga kesan ke atas diri mereka dan industri
itu daripada sudut sosiobudaya, ekonomi dan persekitaran.” Pengertian yang
meluas ini sukar difahami kerana ia tidak menjelaskan secara mendalam apa yang
dimaksudkan sebagai pelancongan dan apakah faktor-faktor yang terlibat dalam
membangunkan industri ini.
Oleh itu, wujud definisi
lain yang cuba member penjelasan secara mendalam mengenai pelancongan. Sebagai
contoh, Leiper (1981) menjelaskan pelancongan sebagai, “suatu sistem terbuka
yang mempunyai hubungan dengan persekitaran yang luas, elemen manusia iaitu
pelancong, elemen kawasan iaitu kawasan asal, kawasan persinggahan dan kawasan
destinasi yang terpilih, elemen ekonomi iaitu industri pelancongan dan elemen
dinamik iaitu terdiri daripada individu yang mengembara bagi tujuan berehat
jauh dari tempat asal mereka selama lebih kurang satu hari.” Walaupun definasi
ini agak mendalam, sekurang-kurangnya ia memberi pengertian yang jelas
berkenaan pelancongan dan elemen-elemen yang terlibat dalam industri
pelancongan secara khususnya. Kelima-lima elemen itu adalah persekitaran,
manusia, kawasan, ekonomi dan dinamik.
Memandangkan pelancongan
itu sendiri ditafsirkan berbeza-beza mengikut perspektif masing-masing,
sehingga kini masih wujud pelbagai definisi pelancongan. Istilah WTO atau World Tourism Organization ini secara langsung membawa pengertian
apa yang dimaksudkan sebagai pelancongan antarabangsa, pelancongan dalaman,
pelancongan domestik, dan pelancongan kebangsaan.
Suatu definisi lengkap yang
sudah dan masih diguna pakai dalam memahami erti pelancongan sebenar dibariskan
oleh McIntosh dan rakan-rakan (1995). Menurut mereka, “Pelancongan adalah suatu
fenomena dan hubungan yang wujud akibat daripada interaksi di antara pelancong,
ahli perniagaan, kerajaan dan komuniti selaku tuan rumah dalam proses menarik
pelancong dan pelawat asing.” Secara tidak langsung, definisi ini menjelaskan
pelancongan adalah lawatan atau pengembaraan ke suatu tempat lain dalam tempoh
semalam, bertujuan berhibur, berehat, berniaga dan sebagainya. Malah, definisi
ini juga menekankan wujudnya empat elemen utama dalam pengertian pelancongan
iaitu:
- Pelancong: Mereka yang
keluar ke suatu destinasi lain bagi beberapa tujuan.
- Perniagaan: Mereka
yang terlibat dengan membekalkan barangan ataupun perkhidmatan dalam
industri pelancongan di samping memenuhi permintaan pelancong.
- Kerajaan: Mereka yang
terlibat dalam memenuhi ekonomi sama ada berbentuk pendapatan tuan rumah
ataupun pendapatan hasil daripada kedatangan pelancong.
- Tuan rumah: Mereka
yang terlibat secara langsung dengan destinasi terpilih di samping menjaga
budaya masyarakat destinasi itu.
0 comments:
Post a Comment