Pelancongan merupakan satu industri
yang berkembang maju selepas Perang Dunia Kedua (1941-1945). Ia mencatatkan
kedatangan pelancong antarabangsa sebanyak 25.3 juta orang (1950) kepada 940
juta orang (2010) dan menyumbang kepada pendapatan ekonomi dunia sebanyak USD
2.1 bilion (1950) kepada USD 919 bilion (2010) WTO (World Tourism
Organization, 2011). Peningkatan kedatangan pelancong ini disokong oleh
faktor-faktor kestabilan politik dan ekonomi dunia, peningkatan taraf hidup dan
pendapatan penduduk serta penawaran produk-produk pelancongan baharu.
Perkembangan industri yang memberangsangkan mendorong kebanyakan Negara
membangunkan pelancongan secara serius kerana kemampuannya dalam menyumbang
pertumbuhan ekonomi.
Bagi menggalakkan pembangunan
pelancongan, pihak kerajaan menyediakan dasar dan strategi yang sesuai bagi
menjadikan pelancongan sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi Negara. Selain
itu, pelbagai insentif yang menarik disediakan bagi menggalakkan penglibatan
sektor swasta dalam menjayakan perkembangan industri pelancongan. Kesannya, banyak
kawasan-kawasan baharu dibangunkan sebagai destinasi pelancongan yang
menawarkan pelbagai konsep dan aktiviti bagi menarik kedatangan pelancong.
Perkembangan pelancongan di
sesebuah destinasi menyumbangkan pelbagai impak positif terhadap ekonomi, alam
sekitar, dan sosial seperti meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk,
peningkatan kualiti alam sekitar dan menggalakkan hubungan antara pelancong dan
penduduk. Walau bagaimanapun, pelancongan juga menyumbang beberapa impak
negatif seperti kebocoran ekonomi, penurunan kualiti alam sekitar dan gangguan
kepada penduduk tempatan seperti kebisingan, masalah sosial dan sebagainya.
Bagi memastikan industri
pelancongan mampu memberikan pulangan serta manfaat kepada semua pihak
sepanjang masa, satu perancangan yang komprehensif dan bersepadu perlu
dilakukan. Perancangan yang baik adalah mengambil kira semua aspek yang
terlibat sebelum melaksanakan pembangunan. Masalah yang timbul daripada pelaksanaan
sesuatu pembangunan perlu diselesaikan dengan merangka beberapa cadangan yang
sesuai bagi mengatasinya. Ini memastikan sesuatu pembangunan yang dilakukan
dapat bertahan untuk tempoh yang lama dan menyumbang impak positif secara
berterusan kepada semua pihak.
0 comments:
Post a Comment