PENGENALAN
Pelancongan mempunyai
pelbagai maksud perspektif dan pandangan pihak-pihak yang terlibat sama ada
secara langsung ataupun tidak langsung dengan industri pelancongan. Ini termasuklah
pelancong itu sendiri, organisasi penginapan dan pengangkutan, organisasi
pendidikan, pihak kerajaan dan sebagainya.
Pada awalnya, Jafari (1977)
mendefinisikan pelancongan sebagai, “satu kajian manusia yang bertentangan
dengan habitat semula jadi mereka serta penglibatan industri yang bertindak
balas pada keperluan mereka, dan juga kesan ke atas diri mereka dan industri
itu daripada sudut sosiobudaya, ekonomi dan persekitaran.” Pengertian yang
meluas ini sukar difahami kerana ia tidak menjelaskan secara mendalam apa yang
dimaksudkan sebagai pelancongan dan apakah faktor-faktor yang terlibat dalam
membangunkan industri ini.
Oleh itu, wujud definisi
lain yang cuba member penjelasan secara mendalam mengenai pelancongan. Sebagai
contoh, Leiper (1981) menjelaskan pelancongan sebagai, “suatu sistem terbuka
yang mempunyai hubungan dengan persekitaran yang luas, elemen manusia iaitu
pelancong, elemen kawasan iaitu kawasan asal, kawasan persinggahan dan kawasan
destinasi yang terpilih, elemen ekonomi iaitu industri pelancongan dan elemen
dinamik iaitu terdiri daripada individu yang mengembara bagi tujuan berehat
jauh dari tempat asal mereka selama lebih kurang satu hari.” Walaupun definasi
ini agak mendalam, sekurang-kurangnya ia memberi pengertian yang jelas
berkenaan pelancongan dan elemen-elemen yang terlibat dalam industri
pelancongan secara khususnya. Kelima-lima elemen itu adalah persekitaran,
manusia, kawasan, ekonomi dan dinamik.
Memandangkan pelancongan
itu sendiri ditafsirkan berbeza-beza mengikut perspektif masing-masing,
sehingga kini masih wujud pelbagai definisi pelancongan. Istilah WTO atau World Tourism Organization ini secara langsung membawa pengertian
apa yang dimaksudkan sebagai pelancongan antarabangsa, pelancongan dalaman,
pelancongan domestik, dan pelancongan kebangsaan.
Suatu definisi lengkap yang
sudah dan masih diguna pakai dalam memahami erti pelancongan sebenar dibariskan
oleh McIntosh dan rakan-rakan (1995). Menurut mereka, “Pelancongan adalah suatu
fenomena dan hubungan yang wujud akibat daripada interaksi di antara pelancong,
ahli perniagaan, kerajaan dan komuniti selaku tuan rumah dalam proses menarik
pelancong dan pelawat asing.” Secara tidak langsung, definisi ini menjelaskan
pelancongan adalah lawatan atau pengembaraan ke suatu tempat lain dalam tempoh
semalam, bertujuan berhibur, berehat, berniaga dan sebagainya. Malah, definisi
ini juga menekankan wujudnya empat elemen utama dalam pengertian pelancongan
iaitu:
- Pelancong: Mereka yang
keluar ke suatu destinasi lain bagi beberapa tujuan.
- Perniagaan: Mereka
yang terlibat dengan membekalkan barangan ataupun perkhidmatan dalam
industri pelancongan di samping memenuhi permintaan pelancong.
- Kerajaan: Mereka yang
terlibat dalam memenuhi ekonomi sama ada berbentuk pendapatan tuan rumah
ataupun pendapatan hasil daripada kedatangan pelancong.
- Tuan rumah: Mereka
yang terlibat secara langsung dengan destinasi terpilih di samping menjaga
budaya masyarakat destinasi itu.
Posted by Unknown at 01:15 0 comments
INDUSTRI PELANCONGAN
Pelancongan merupakan satu industri
yang berkembang maju selepas Perang Dunia Kedua (1941-1945). Ia mencatatkan
kedatangan pelancong antarabangsa sebanyak 25.3 juta orang (1950) kepada 940
juta orang (2010) dan menyumbang kepada pendapatan ekonomi dunia sebanyak USD
2.1 bilion (1950) kepada USD 919 bilion (2010) WTO (World Tourism
Organization, 2011). Peningkatan kedatangan pelancong ini disokong oleh
faktor-faktor kestabilan politik dan ekonomi dunia, peningkatan taraf hidup dan
pendapatan penduduk serta penawaran produk-produk pelancongan baharu.
Perkembangan industri yang memberangsangkan mendorong kebanyakan Negara
membangunkan pelancongan secara serius kerana kemampuannya dalam menyumbang
pertumbuhan ekonomi.
Bagi menggalakkan pembangunan
pelancongan, pihak kerajaan menyediakan dasar dan strategi yang sesuai bagi
menjadikan pelancongan sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi Negara. Selain
itu, pelbagai insentif yang menarik disediakan bagi menggalakkan penglibatan
sektor swasta dalam menjayakan perkembangan industri pelancongan. Kesannya, banyak
kawasan-kawasan baharu dibangunkan sebagai destinasi pelancongan yang
menawarkan pelbagai konsep dan aktiviti bagi menarik kedatangan pelancong.
Perkembangan pelancongan di
sesebuah destinasi menyumbangkan pelbagai impak positif terhadap ekonomi, alam
sekitar, dan sosial seperti meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk,
peningkatan kualiti alam sekitar dan menggalakkan hubungan antara pelancong dan
penduduk. Walau bagaimanapun, pelancongan juga menyumbang beberapa impak
negatif seperti kebocoran ekonomi, penurunan kualiti alam sekitar dan gangguan
kepada penduduk tempatan seperti kebisingan, masalah sosial dan sebagainya.
Bagi memastikan industri
pelancongan mampu memberikan pulangan serta manfaat kepada semua pihak
sepanjang masa, satu perancangan yang komprehensif dan bersepadu perlu
dilakukan. Perancangan yang baik adalah mengambil kira semua aspek yang
terlibat sebelum melaksanakan pembangunan. Masalah yang timbul daripada pelaksanaan
sesuatu pembangunan perlu diselesaikan dengan merangka beberapa cadangan yang
sesuai bagi mengatasinya. Ini memastikan sesuatu pembangunan yang dilakukan
dapat bertahan untuk tempoh yang lama dan menyumbang impak positif secara
berterusan kepada semua pihak.
Posted by Unknown at 01:14 0 comments
TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN
Thursday 23 June 2016
Pada zaman
pasca kemerdekaan negara Malaysia, industri pelancongan kurang di beri
perhatian atau penekanan oleh pihak kerajaan kerana kerajaan lebih menumpukan
terhadap pembangunan infrastruktur negara dan kestabilan negara. Ketika itu
juga kerajaan lebih menumpukan sektor hasil bumi seperti bijih timah dan getah
yang menjadi hasil utama dan kerajaan tidak sedar akan peranan industrI
pelancongan juga akan membawa kepada perkembangan ekonomi sesebuah negara.
Walau bagaimanapun, industri pelancongan di Malaysia telah mula dilihat
mengalami perkembangan positif pada era tahun 70an dengan kewujudan Penubuhan
Perbadanan Pelancongan Malaysia (TDC) pada Ogos 1972, Dasar Ekonomi Baru (DEB),
dan Persidangan Kesatuan Pelancongan Kawasan Pasifik (PATA) di Kuala Lumpur.
Sektor
pelancongan negara dilihat semakin berkembang pada awal tahun 80-an di mana
ketika ini negara sudah aman daripada ancaman komunis dan juga ancaman luar.
Pada tahun 1987, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan telah ditubuhkan.
Kemudian pada tahun 1990 kerajaan telah menaiktaraf kementerian tersebut kepada
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Dengan penubuhan
tersebut, ia telah merancakkan lagi pembangunan industrI pelancongan negara.
(Azizan Marzuki, 2010).
Kejayaan
pembangunan dalam industri pelancongan dapat dilhat melalui kejayaan Tahun
Melawat Malaysia 1990, sumbangan sektor ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) terus meningkat. Malahan sumbangannya masih terus meningkat lagi selepas
kegawatan ekonomi pada 1997 dan 1998 dengan cara menggalakkan aliran masuk wang
ke dalam Negara dan mengurangkan aliran keluar matawang Negara dan seterusnya
memulihkan krisis ekonomi Negara. Pada tahun ini juga kerajaan telah mengambil
inisiatif dalam mempertingkatkan kemudahan-kemudahan asas seperti menaik taraf
jeti, menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan
Terbang Antarabangsa Langkawi bagi menampung kemasukan pelancong asing yang
kian bertambah. (Unit Perancang Ekonomi, 1991). Pada tahun 2000, seramai 10.2
juta orang pelancong (termasuk pelancong domestik) berkunjung ke Malaysia yang
menghasilkan pendapatan RM20 bilion, termasuk RM17 bilion daripada pertukaran
asing (Berita Harian, 9 Jun 2001). Kenyataan ini dapat dilihat dengan lebih
terperinci pada Jadual dibawah yang menunjukkan statistik ketibaan pelancong dan
pendapatan daripada pelancongan daripada tahun 1998 sehingga tahun 2008.
(Malaysia,2001)
TAHUN
|
KETIBAAN PELANCONG (JUTA)
|
PENDAPATAN (RM JUTA)
|
1998
|
5.50
|
8,580.5
|
1999
|
7.93
|
12,321.3
|
2000
|
10.22
|
17,335.4
|
2001
|
12.78
|
24,221.5
|
2002
|
13.29
|
25,781.1
|
2003
|
10.58
|
21,291.1
|
2004
|
15.70
|
29,651.4
|
2005
|
16.40
|
31,954.1
|
2006
|
17.45
|
36,271.1
|
2007
|
20.90
|
46,070.0
|
2008
|
22.00
|
49,561.2
|
Ketibaan pelancong dan pendapatan
daripada pelancongan, 1998-2008
Menurut
petikan dari MStar (2012), Malaysia merekodkan ketibaan 24,714,324 pelancong
asing sepanjang tahun 2011, mengatasi jumlah 24,577,196 pada 2010. Daripada
jumlah itu, negara juga turut mencatatkan perolehan sebanyak RM58.3 bilion pada
2011 berbanding RM56.5 bilion pada tahun sebelumnya. Seterusnya tahun 2012, Malaysia
mencatat rekod peningkatan kedatangan pelancong sebanyak +1.2% dengan jumlah
sebanyak 9,438,592 orang bagi lima bulan pertama tahun 2012.
Purata
kedatangan pelancong ke Malaysia dari tahun ke tahun menunjukkan peningkatan
demi peningkatan walaupun terdapat beberapa punca masalah yang berlaku di
Malaysia seperti wabak penyakit, perubahan cuaca dan peristiwa yang terkini
yang menimpa Malaysia adalah berkaitan dengan peristiwa kehilangan pesawat
MH370 serta insiden yang menimpa pesawat MH17 yang menggemparkan seluruh dunia.
Hal ini dijangkakan purata pelancong melawat Malaysia akan menurun tetapi
sebaliknya. Berdasarkan kenyataan Datuk Seri Najib Razak iaitu Perdana Menteri
Malaysia memberi kenyataan bahawa sektor pelancongan negara kini menjadi
penyumbang keenam terbesar kepada ekonomi negara dengan sumbangan sejumlah
RM161 bilion atau 14.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada tahun
2014. Walaupun suatu tahun penuh duka sengsara yang menyaksikan dunia turut
bersedih namun industri pelancongan kita masih mampu menarik 27.44 juta
pelancong dengan pendapatan berjumlah RM72 bilion. (Berita Harian Online,
2015). Sehingga kini, sektor pelancongan merupakan sektor kelima terbesar
negara.
Unit
Perancangan Ekonomi (2010) Malaysia juga merupakan negara ketiga paling ramai
menerima pelancong di Asia Timur – selepas China dan Hong Kong. Hal ini
menunjukkan bahawa sejak awal tahun 80-an sehingga kini perhatian kerajaan
terhadap sektor tersebut dapat dibuktikan dengan peruntukan kewangan dan
pelaburan yang dibelanjakan seperti Jadual dibawah. (Azizan Marzuki, 2010)
RANCANGAN MALAYSIA 5 TAHUN
|
PERUNTUKAN (Juta)
|
|
1
|
Rancangan Malaysia Pertama (1965-1970)
|
Tiada peruntukan
|
2
|
Rancangan Malaysia Ke-2 (1971-1975)
|
RM 8.59
|
3
|
Rancangan Malaysia Ke-3 (1976-1980)
|
RM 27.19
|
4
|
Rancangan Malaysia ke-4 (1981-1985)
|
RM 40.00
|
5
|
Rancangan Malaysia ke-5 (1986-1990)
|
RM 140.00
|
6
|
Rancangan Malaysia Ke-6 (1991-1995)
|
RM 533.90
|
7
|
Rancangan Malaysia Ke-7 (1996-2000)
|
RM 605.50
|
8
|
Rancangan Malaysia Ke-8 (2001-2005)
|
RM 1009.00
|
9
|
Rancangan Malaysia Ke-9 (2006-2010)
|
RM 1847.90
|
Jadual Peruntukan Dana
Pembangunan Pelancongan Malaysia
Posted by Unknown at 23:20 0 comments
KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN INDUSTRI PELANCONGAN
Sepertimana
yang telah dinyatakan sebelum ini antara fungsi utama industri pelancongan
adalah untuk menuju pembangunan pesat dalam ekonomi negara. Antara kepentingan
dan sumbangan industri pelancongan di dalam ekonomi negara adalah seperti
dibawah:
Ekonomi Pelancongan
Pembangunan
pelancongan sebagaimana yang diketahui memberi impak ke atas ekonomi destinasi berkenaan.
Impak ekonomi sering kali dilihat sebagai impak positif berbanding negatif. Ini
kerana pelancongan dipercayai dapat meningkatkan lagi pendapatan komuniti dan
ekonomi destinasi itu malah lebih daripada itu, ia juga dapat meningkatkan
ekonomi Negara. Antara impak positif ekonomi akibat daripada pembangunan
pelancongan ialah:
1.
Dapat mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya kepada
penduduk tempatan.
2. Dapat menambahkan hasil pendapatan penduduk dengan
menjalankan perniagaan sampingan.
3. Dapat meningkatkan pendapatan kerajaan dengan kemasukan wang
hasil daripada cukai dan juga jualan produk ataupun perkhidmatan pelancongan.
4.
Dapat membawa masuk pelaburan dari Negara asing.
5.
Dapat mempertingkatkan taraf kehidupan penduduk tempatan.
Persekitaran Pelancongan
Dari segi persekitaran
bukan sahaja melibatkan tanah malah udara, air, flora dan fauna, bahkan juga
manusia. Antara impak positif ke atas persekitaran yang sudah dikenal pasti
akibat daripada pembangunan pelancongan adalah:
1.
Mewujudkan insentif bagi pemeliharaan dan pemuliharaan
bangunan bersejarah dan sumber semula jadi.
2.
Menyediakan kemudahan seperti jalan raya yang berkualiti
tinggi.
3.
Mewujudkan lebih banyak taman dan pusat rekreasi di destinasi
berkenaan.
Sosiobudaya Pelancongan
Impak
sosiobudaya didefinasikan oleh Fox (1977) sebagai, “sumbangan pelancongan ke
atas perubahan dalam sistem nilai, gelagat individu, hubungan kekeluargaan,
gaya hidup yang pelbagai, tahap keselamatan, etika moral, acara tradisional dan
juga organisasi komuniti.” Dalam mengenal pasti impak sosiobudaya, aspek budaya
masyarakat adalah penting dilihat secara mendalam kerana wujudnya kepelbagaian
dalam budaya itu sendiri.
Oleh itu, impak
ke atas sosiobudaya adalah dipengaruhi oleh budaya dan nilai yang dipegang oleh
masyarakat berkenaan. Ini bermakna, impak positif di sebuah destinasi tidak
mungkin sama dengan sebuah destinasi yang lain. Antara impak positif
sosiobudaya adalah:
1.
Memperbaiki kualiti hidup masyarakat setempat.
2.
Meningkatkan kemudahan rekreasi dan pelancongan.
3.
Memperbaiki imej dan budaya masyarakat setempat.
4.
Mempromosikan pertukaran budaya.
5.
Menambahkan perjumpaan antara pelancong.
6.
Memperbaiki kualiti keselamatan.
7.
Meningkatkan permintaan ke atas acara bersejarah dan
kebudayaan.
8.
Mewujudkan nilai kemesraan terhadap pelancong asing.
9.
Mewujudkan pengalaman yang menarik di kalangan masyarakat.
10.
Memelihara budaya masyarakat setempat.
Posted by Unknown at 23:18 0 comments
HALANGAN/CABARAN INDUSTRI PELANCONGAN
Sektor pelancongan di
Negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan Negara yang penting.
Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di Negara ini dibuka dengan banyak
seperti cendawan selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya
untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembangunan
Negara yang pantas. Namun, masih ada ruang dan lubang yang wajar dimanfaatkan
oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada
perkembangan sektor ini. Jika ditinjau dengan mendalam terdapat banyak cabaran
yang dihadapi oleh sektor pelancongan di Negara kita pada masa depan. Antara
cabaran yang dihadapi termasuklah:
1.
Krisis kehilangan MH370 dan
insiden MH17.
Menurut
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, promosi Tahun Melawat Malaysia 2014
(TMM 2014) terpaksa dihentikan buat seketika sebagai menghormati tumpuan negara
dalam mencari kotak hitam pesawat MH370 yang dikatakan terhempas di Selatan
Lautan Hindi. Berikutan dengan peristiwa itu, satu lagi kejadian insiden MH17
terhempas turut mengemparkan lagi seluruh masyarakat Dunia.
Insiden yang
menimpa MH370 dan MH17 mengalih perhatian masyarakat Malaysia dan dunia sehingga
menenggelamkan TMM. Hal ini menyebabkan kedatangan
pelancong berkurang seperti biasa dan mengambil masa untuk pulih seperti sedia
kala.
2.
Pencerobohan.
Kes-kes jenayah dan pencerobohan
yang seringkali berlaku dikawasan sempadan seperti kecurian, penipuan,
penculikan, pembunuhan, samun dan sebagainya menyumbang kepada imej negatif terhadap
pelancongan. Selain itu, aktiviti penyeludupan merupakan isu utama yang
seringkali dipandang serius oleh pihak kerajaan terutamanya di kawasan
sempadan. Penyeludupan yang berlaku secara serius mewujudkan tanggapan bahawa
sempadan Negara mudah dibolosi oleh penyeludup akibat lemahnya aktiviti
penguatkuasaan dan integriti. Jika tiada langkah-langkah berkesan diambil akan
mewujudkan keadaan yang tidak stabil terutamanya bagi penduduk yang tinggal
berhampiran kawasan sempadan dan pelancong. Tanggapan orang ramai mengenai
aktiviti yang tidak sihat seperti seks bebas, alkohol, pergaulan tanpa batasan
turut menyumbang kepada imej negatif bagi pelancongan.
3.
DCA meningkatkan cas
tambang.
Caj perkhidmatan
penerbangan telah dinaikkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA). Antaranya ialah
kenaikan caj penerbangan, pesawat besar, kos tinggi, pesawat kecil, pesawat
kargo dan helikopter tidak terkecuali dikenakan caj ini. Justeru itu, kadar
keuntungan sesebuah syarikat penerbangan mampu dicapai dengan menaikkan kadar
caj yang lebih tinggi kepada para penumpang. Secara tidak langsung, syarikat
penerbangan terpaksa mengenakan caj tinggi
kepada para pelancong bagi menangangi isu kos. Kesannya pelancong akan
beralih ke destinasi lain jika peningkatan ini membebankan mereka.
4.
Pencemaran Alam Sekitar.
Pencemaran alam sekitar
yang berlaku juga boleh menyebabkan sektor pelancongan Negara terganggu. Hal
ini kerana banyak tempat menarik telah tercemar dengan sampah sarap. Pantai
yang cantik juga telah tercemar dengan minyak hitam daripada kapal-kapal laut.
Oleh itu, para pelancong tidak mahu datang ke kawasan pelancongan ini dan kerajaan
terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk membersihkan tempat-tempat
pelancongan ini.
5.
Persaingan dengan
Negara-negara lain.
Persaingan
sektor pelancongan dengan negara-negara yang lain. Hal ini demikian, bukan
sahaja negara kita tetapi negara-negara yang lain juga mengetahui kebaikan dan
kepentingan sektor pelancongan terhadap sesebuah negara. Oleh itu banyak negara
mempromosikan pelancongan di negara mereka dan kita hendaklah bersaing dengan
mereka untuk menjadi destinasi utama pelancong. Oleh itu, kita haruslah membuat
persediaan yang cukup untuk menarik para pelancong ke negara kita.
6.
Keadaan politik tidak
stabil.
Kestabilan politik adalah
satu faktor penting bagi menjamin perkembangan industri pelancongan. Malaysia
perlu mengamalkan konsep aman, bebas dan berkecuali bagi menarik lebih ramai
pelancong asing. Bukti-bukti tentang kesan ketidakstabilan politik terhadap
industri pelancongan perlu dijadikan pengajaran tentang berapa pentingnya
suasana keharmonian Negara dalam pertubuhan industri pelancongan.
Posted by Unknown at 23:13 0 comments
SISTEM SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN DAN SWASTA YANG DITAWARKAN UNTUK PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN.
Bagi mewujudkan pembangunan
pelancongan mapan, beberapa pihak perlu memainkan peranan utama. Pihak-pihak
ini lebih dikenali sebagai ejen pembangunan pelancongan dan masing-masing
mempunyai peranan yang berbeza dalam membangunkan sebuah pelancongan mapan.
Sektor
Kerajaan
Sektor Kerajaan adalah
sektor utama dalam membangunkan pelancongan kerana mereka yang menentukan sama
ada industri pelancongan terus dibangunkan ataupun sebaliknya. Sektor awam
bukan sahaja merujuk kepada pihak kerajaan tetapi juga orang perseorangan.
Terdapat beberapa cara di mana sektor awam boleh melibatkan diri membangunkan
industri pelancongan. Antaranya melalui sosiobudaya, persekitaran, ekonomi dan
politik. Melalui ekonomi, wujud banyak faktor yang terus menggalakkan peranan
sektor awam seperti:
1.
Mempertingkatkan
lagi keadaan imbangan pembayaran.
2.
Membangunkan
kawasan atau destinasi daerah mereka sendiri.
3.
Mewujudkan
kepelbagaian faedah ekonomi.
4.
Meningkatkan
tahap pendapatan.
5.
Meningkatkan
pendapatan negeri melalui pengutipan cukai.
6.
Membuka
peluang yang lebih banyak ke atas pekerjaan.
7.
Stimulasi
terhadap pelaburan yang secara langsungnya tidak berkaitan dengan pelancongan.
Sektor
Swasta
Dalam industri pelancongan,
sektor swasta merupakan pihak yang beroperasi dengan tujuan untuk mendapatkan
keuntungan. Terdapat banyak sektor swasta dalam industri pelancongan yang
terdiri dari pelbagai aspek penawaran antaranya penginapan seperti hotel,
resort dan chalet, pengangkutan seperti bas ekspres, kapal terbang dan kapal
layar, malah termasuk juga restoran dan sebagainya. Biasanya wujud persaingan
yang hebat di kalangan agen-agen ini kerana masing-masing berobjektifkan
keuntungan. Malah, apa yang sering menjadi isu adalah ejen-ejen sektor swasta
ini tidak begitu mengambil berat mengenai impak ke atas sosiobudaya dan
persekitaran kerana lebih mementingkan keuntungan.
Posted by Unknown at 23:12 0 comments
LANGKAH - LANGKAH UNTUK MENDORONG DAN MEMBANGUNKAN INDUSTRI PELANCONGAN
Terdapat banyak faktor yang
mendorong untuk membangunkan industri pelancongan. Maka, pihak yang terlibat
perlu mewujudkan produk pelancongan baru ataupun membangunkan produk
pelancongan yang sedia ada bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelancong.
Selain itu, produk
pelancongan baru juga diwujudkan kerana sektor yang terlibat memang peka dan
sentiasa mahu memberikan kelainan ke atas produk yang dikeluarkan kepada
pelancong. Ini secara tidak langsung mengukuhkan pasaran sektor di samping
mengekalkan pembangunan produk yang sudah sedia ada. Produk pelancongan baru
juga wujud akibat wujudnya inovasi teknologi terkini. Dengan adanya inovasi
teknologi yang pelbagai pada masa kini, sektor pelancongan terpaksa mengambil
inisiatif bagi mewujudkan produk pelancongan baru selari dengan perkembangan
teknologi.
Akhir sekali, produk
pelancongan baru juga diwujudkan kerana peka kepada permasalahan sosial yang
wujud dalam masyarakat. Bagi mengatasi masalah ini, sektor pelancongan perlu
mewujudkan suatu produk baru di pasaran. Antara contoh produk-produk
pelancongan baru yang sudah sedia ada di pasaran adalah:
- Kembara politik
Produk
pelancongan baru ini merujuk kepada pengembaraan yang dibuat oleh pelancong
bagi tujuan politik. Sesetengah pelancong mungkin mengunjungi sesebuah Negara
kerana aspek politik. Malah, kunjungan yang dibuat oleh pembesar-pembesar
Negara juga adalah dikategorikan dalam kembara politik.
- Ekopelancongan
Ekopelancongan
merupakan aktiviti pelancongan yang harmoni dengan persekitaran. Konsep ini
menumpukan kepada pertimbangan dan sensitif terhadap ekologi, kawalan,
integrasi dengan sosiobudaya dan penerapan nilai-nilai mapan. Melalui subsektor
ekopelancongan, ia telah membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk
melibatkan diri dalam penyediaan penginapan melalui program homestay. Pada
tahun 2010, seramai 2,998 orang telah dilatih dan diberi lesen untuk mengendali
penginapan homestay di seluruh Negara.
Selain itu, kerajaan telah mempromosikan pakej pelancongan komuniti orang asli serta
telah membuka peluang pekerjaan kepada orang asli untuk menjadi pemandu bot dan
pemandu pelancong alam semulajadi. Secara tidak langsung, program seperti ini
akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan disamping meningkatkan
lagi pendapatan mereka.
Pelaksanaan
konsep ini mampu mencapai ‘simbiosis’ antara pemuliharaan dan pembangunan. Prinsip-prinsip
ekopelancongan yang dikemukakan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan
Pelancongan, (1996) adalah:
·
Tidak
merosakkan alam sekitar.
·
Menghargai
alam sekitar, mencadangkan komponen pembelajaran.
·
Mempromosi
pemeliharaan.
·
Impak
yang rendah.
·
Penglibatan
penduduk tempatan.
- AgroPelancongan
Agropelancongan
merupakan konsep pelancongan yang tertumpu di kawasan luar Bandar menjurus
kepada penonjolan pelbagai tarikan seperti kebudayaan, cara hidup penduduk dan
kegiatan ekonomi berasaskan pertanian. Pelancong dapat merasai suasana hidup
bersama masyarakat kampung dan memperoleh pengetahuan tentangnya. Konsep ini
menyumbangkan kesan positif terhadap sosial, alam sekitar dan ekonomi
masyarakat luar Bandar.
- Pelancongan sukarela
Produk
pelancongan ini merujuk kepada percutian yang dibuat oleh pelancong yang
gemarkan aktiviti sukarela. Ia bermatlamat antara lain membantu mangsa
peperangan, mangsa bencana alam, membantu kempen mengekalkan hidupan liar dan
sebagainya lagi.
- Pelancongan kesihatan
Produk pelancongan
ini pula merujuk kepada percutian dan pengembaraan yang dibuat atas dasar
kesihatan. Ia membawa maksud pelancong melancong bertujuan mendapatkan rawatan,
atau perlu beristirehat bagi meringankan masalah kesihatan yang wujud dan
lain-lain.
- Pelancongan pendidikan
Pelancong dari
Negara lain yang mempunyai jangka masa cuti tahunan yang panjang datang
melancong ke Malaysia dan mengikuti kursus-kursus jangka pendek yang ditawarkan
oleh institusi Pengajian Tinggi di Malaysia.
Contoh: Cuti musim panas di Negara Timur Tengah
Semasa cuti
mereka akan datang dan tinggal di Malaysia selama beberapa bulan dan boleh
mengikuti kursus jangka pendek bagi memanafaatkan masa mereka di sini.
Pelancong ini
akan mempromosikan kursus-kursus pendidikan yang ditawarkan oleh Pusat
Pendidikan Tinggi Negara ini apabila pulang ke Negara asal. Lebih ramai warga
asing akan belajar di Negara kita.
- Pelancongan sukan
Malaysia kini
semakin giat mempromosikan diri sebagai penganjur dan tuan rumah kepada pelbagai
kejohanan sukan dan aktiviti rekreasi bertaraf dunia, seterusnya menjadikan
Malaysia destinasi utama pelancongan sukan di rantau Asia Pasifik. Penganjuran
sukan seperti kejohanan kereta Formula 1, kejohanan lumba basikal, kejohanan
badminton, pameran Maritim, udara Langkawi (LIMA), PowerBoat, Le Tour De Langkawi,
Monsoon Cup dan sebagainya adalah sebahagian
daripada acara sukan yang mendapat pengiktirafan dunia. Penyediaan kemudahan
dan infrastruktur sukan yang lengkap dan canggih menjadikan Malaysia sentiasa
bersedia untuk menganjurkan apa jua kejohanan sukan. Kompleks Sukan Negara dan
Litar F1 Sepang contohnya adalah infrastruktur sukan bertaraf antarabangsa yang
kini menjadi tumpuan acara-acara sukan terkemuka.
Malaysia juga
dikurniakan dengan alam semulajadi yang bukan sahaja indah malah begitu sesuai
untuk pelbagai aktiviti berteraskan adventure
sports. Ini menggalakkan pelancongan yang mempunyai minat khas untuk datang
dan mengalami sendiri aktiviti sukan dalam persekitaran begitu mencabar. Selain
itu Malaysia juga memiliki lebih daripada 250 padang golf di seluruh Negara
yang menjadi tarikan mereka yang menggemari sukan golf. Agensi utama yang
bertanggungjawab dalam pelancongan sukan ini adalah Kementerian Belia dan Sukan
sementara Kementerian pelancongan membantu dari aspek promosi.
Posted by Unknown at 23:11 0 comments
Subscribe to:
Posts (Atom)